Sunday, May 17, 2009

Jaksa Pendamai Diminta Bantu Pupuk Perpaduan


AYER KEROH, 17 Mei - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mahu setiap ahli Jaksa Pendamai (JP) memainkan peranan lebih positif dan berkesan bagi mencapai objektif-objektif yang terkandung dalam Rukun Negara.

Katanya, Ahli-ahli Jaksa Pendamai (Justice Of Peace) dipilih daripada pelbagai kaum yang mengamalkan agama serta budaya yang berbeza dan mereka sewajarnya boleh memainkan peranan yang lebih demokratik menurut lunas undang-undang.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Jaksa Pendamai negeri Melaka, di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Mohd Ali menjelaskan, mereka mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat dan mempunyai bidang kuasa yang boleh dilaksanakan untuk faedah ahli-ahli masyarakat di negeri ini.

"Mereka boleh memainkan peranan utama dalam usaha membentuk perpaduan kebangsaan di kalangan masyarakat Malaysia," katanya.

Katanya, pada hari ini terdapat beberapa elemen perpecahan berlaku dalam masyarakat kita.

Beliau yakin dengan kedudukan para JP yang diterima oleh masyarakat serta dihormati dapat memainkan peranan untuk menjernihkan kekeruhan yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Beliau seterusnya meminta seluruh ahli JP membantu merealisasikan visi Melaka Maju 2010 di samping menyokong konsep '1Malaysia' yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Terdahulu Presiden Majlis JP, Datuk Md Sirat Abu mahu ahli-ahli JP negeri ini memberi kerjasama dan sokongan kepada Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Katanya, kerjasama ini amat diperlukan demi membangunkan sebuah masyarakat yang harmoni dan bahagia.

Turut hadir penasihat Majlis JP Tan Sri Dr P.R.Linggam, Datuk Tan Cheng Swee dan Datuk Hamzah Bajuri. MHIonline

Sila kunjungi: www.alirustam.com

Thursday, May 14, 2009

USAH CETUS SUASANA PANIK.. Wabak Meningitis Terkawal - MOHD ALI


TIANG DUA, 13 Mei - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan orang ramai tidak mencetuskan suasana panik ekoran wabak yang disyaki meningitis membabitkan pelatih-pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, ibu bapa pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Tiang Dua dan penduduk berhampiran juga tidak perlu bimbang kerana keadaan terkawal sebagaimana jaminan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Jangan risau, Kementerian Kesihatan sendiri sudah mengesahkan situasi penyakit meningitis di sini terkawal. Kita juga tidak perlu pakai topeng muka kerana ia akan mencetuskan suasana seolah-oleh wabak ini kritikal dan tidak terkawal," kata Mohd Ali.

Ketua Menteri berkata demikian pada sidang media selepas meninjau dan menemui murid-murid dan tenaga pengajar di sekolah berkenaan, pagi tadi.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md Yunos Husin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Ayer Molek; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Kesihatan dan Pembangunan Keluarga Negeri, Norpipah Abdol; Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ghazali Othman dan Ahli Lembaga Pengelola SRJKC Tiang Dua, Liaw Ah Kiew.

Ketua Menteri juga sempat meluangkan masa beramah mesra bersama murid-murid yang sedang bermain bola keranjang di perkarangan sekolah yang terletak kira-kira 300 meter dari Akademi JPJ berkenaan.

Beliau juga memberitahu bahawa semua aktiviti kokurikulum di sekolah yang menempatkan 151 murid termasuk 25 murid pra-sekolah itu tidak perlu dihentikan sebaliknya dijalankan seperti biasa kerana kawasan sekolah berkenaan disahkan selamat daripada jangkitan bakteria meningitis.

"Orang ramai tidak perlu bimbang. Saya sendiri telah melawat dan bersalaman dengan pelatih-pelatih yang dijangkiti bakteria meningitis, pagi tadi," ujar Ketua Menteri lagi.

Jelas beliau, pertambahan bilangan mereka yang terpaksa dikuaratin akibat dijangkiti bakteria meningitis di Hospital Melaka (HM) adalah terdiri dari kalangan pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan Tiang Dua.

"Tiada jangkitan berlaku kepada individu dari luar akademi berkenaan, malah pelatih yang dijangkiti juga kini semakin sembuh," ujar Mohd Ali. MHIOnline

Sila kunjungi : www.alirustam.com

Saturday, May 9, 2009

Orang ramai tidak perlu bimbang- Mohd Ali


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan keluarga pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menerima rawatan di Hospital Melaka (HM), dipercayai akibat diserang meningitis supaya tidak bimbang kerana pelatih-pelatih terbabit sudah stabil.

Serentak dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya bertenang kerana pihak HM telah mengambil langkah-langkah serta tindakan yang berkesan bagi membendung penyakit itu.

Semalam seramai 13 pelatih akademi JPJ itu telah dimasukkan ke wad HM akibat diserang penyakit berkenaan selepas menjalani latihan di luar akademi selama tiga hari bermula 27 April lalu. Seorang dari mereka, Mohd Hafiz Zainudin, 24, dari Kelantan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HM.

Semua pelatih-pelatih terbabit dilaporkan menunjukkan gejala utama iaitu deman, disertai dengan salah satu atau lebih daripada tanda-tanda sakit kepala, sakit sendi, keletihan, batuk, loya, kejang perut dan mengigil. Dua dari mereka sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 11 lagi di wad pengasingan.

Mohd Ali yang ditemui pemberita selepas melawat pelatih-pelatih berkenaan di HM berkata, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Hafiz dan berharap mereka bersabar, semoga roh Allahyarham dirahmati Allah.

"Kalau tengak apa yang saya lihat, semua pelatih-pelatih kelihatan ceria, mereka tidak berada di dalam keadaan yang membimbangkan seperti yang kita sangkakan," jelasnya.

Tambahnya, setakat ini, pelatih-pelatih yang terlibat hanya pelatih Akademi JPJ sahaja, tidak ada kes daripada kawasan yang lain.

Turut sama mengiringi Mohd Ali melawat pelatih-pelatih Akademi JPJ di HM Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ghazali Othman dan Pengarah HM, Dr. Dul Hadi Mat Junit.

Sunday, May 3, 2009

Kita Perlu Terus Lebih Cekap - Mohd Ali


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berharap kakitangan perkhidmatan awam akan terus cekap, berkesan, responsif, kreatif dan inovatif demi memartabatkan mutu perkhidmatan awam di negeri dan negara ini.

Katanya, perkhidmatan dan pengurusan yang cekap di dalam pentadbiran kerajaan memerlukan individu-individu yang kreatif dan juga berinovatif.

"Oleh itu, pegawai-pegawai yang berwawasan serta mempunyai kemahiran akan memberi kesan yang positif kepada perkembangan budaya kerja yang produktif, cekap serta mempunyai integriti yang tinggi."

"Sehubungan itu, peranan yang telah dimainkan oleh kepimpinan Cuepacs sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjalinkan hubungan yang akrab dan harmoni dengan kerajaan melalui konsep perhubungan majikan pekerja dalam perkhidmatan awam," jelasnya.

Mohd Ali berkata demikian semasa berucap pada majlis Makan Malam Cuepacs yang diadakan sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei di salah sebuah hotel di sini malam kelmarin.

"Inovasi di kalangan penjawat awam perlu dipertingkat dan diperluaskan melalui penyelidikan dan pembangunan, rekacipta, meningkatkan kreativiti dan inovasi serta menghasilkan produk-produk baru yang boleh mendorong kepada pembangunan ekonomi, permodenan budaya dan sosial, mencorakkan gaya hidup dan menggalakkan golongan masyarakat serta pengurusan berfikir yang lebih luas," katanya.

Di Melaka terdapat seramai 32,086 kakitangan perkhidmatan awam dan daripada jumlah itu seramai 4,197 staf di pelbagai jabatan negeri, badan berkanun (668), Pihak Berkuasa Tempatan (1,308), syarikat kerajaan negeri (57), Jabatan Persekutuan (24,845) dan badan-badan berkanun Persekutuan seramai 1,011 orang.

Beliau berkata, persetujuan kerajaan kepada permintaan Cuepacs dengan memberi bonus satu bulan atau minimum RM1,500 kepada semua kakitangan kerajaan pada tahun-tahun lalu, menandakan komitmen berterusan kerajaan kepada sektor awam. MHI online

Sila kunjungi: www.alirustam.com