Sunday, January 31, 2010

Itulah Guan Eng sebenar

JITRA 30 Jan. – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bersetuju dengan dakwaan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah seorang pemimpin yang cauvinis dan diktator.

Menurutnya, Guan Eng bukan sahaja tidak disukai oleh penduduk Pulau Pinang selepas menerajui negeri itu, bahkan DAP Melaka dan orang negeri berkenaan pun tidak sukakannya.

Sebab itulah katanya, Guan Eng tewas ketika bertanding jawatankuasa DAP Melaka sebelum pilihan raya umum lalu.

“DAP Melaka pun tak nak beliau, orang Melaka pun tak nak dia. Mereka tahu Guan Eng seorang yang kasar, autokrasi, kuku besi, cakap dia sahaja yang betul dan cakap orang lain semua salah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Juara Rakyat 1Malaysia 2010 anjuran Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kubang Pasu di Dewan Wawasan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd. Johari Baharom yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang itu seorang diktator, Mohd. Ali berkata, itulah sifat Guan Eng yang sebenarnya.

Beliau turut memberikan beberapa contoh lain mengenai perangai kuku besi Guan Eng termasuk dalam isu gerai peniaga kecil Melayu di Pulau Pinang yang dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dakwanya, Guan Eng juga bertindak ‘mencengkam’ para pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu sehingga mereka sukar untuk bersuara.

“Sebab itu Zahrain terpaksa bangun menyatakan rasa tidak puas hati beliau,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, elok Guan Eng melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri kerana beliau tidak layak menerajui Pulau Pinang. Petikan Utusan Online

Sunday, January 24, 2010

Jadikan NGO Terbesar Negara KUKUHKAN KEDUDUKAN GB4B - MOHD ALI


AYER KEROH, 24 Jan - Gerakan Belia 4B (GB4B) Malaysia perlu mendapat sokongan massa (ramai) menerusi setiap kegiatan yang dianjurkan bagi memperkukuhkan kedudukan GB4B sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terbesar dinegera ini.

Presiden Alumni GB4B Malaysia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata perkara itu penting kerana GB4B diperkenalkan untuk memperkukuhkan kedudukan orang muda diperingkat akar umbi dengan bekerja secara sukarela.

"Jika UMNO pada dasarnya ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, agama Islam dan tanah air, GB4B pula bukanlah pertubuhan politik tetapi ditubuhkan untuk mengukuhkan politik orang Melayu dan politik Malaysia.

"Justeru, ahli-ahli GB4B merupakan pelapis kepada UMNO, dan jika UMNO kekurangan pemimpin, maka kita akan ambil pemimpin GB4B untuk menggantikan pemimpin yang kurang didalam parti," katanya.

Mohd Ali berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Alumni GB4B Malaysia Bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) GB4B Malaysia di Seri Bendahara, disini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan, Hasan Abdul Rahman, Naib Presiden Alumni GB4B Malaysia, Datuk Ahmad Bahari Abd Rahman dan Datuk Ayub Yahya, dan Setiausaha Agung Alumni GB4B Malaysia, Datuk Wira Jamaluddin Abd Rahim.

Hadir sama, Presiden GB4B Malaysia, Muamaar Ghadafi Jamal Jamaluddin, Naib Presiden GB4B Malaysia, Mohd Nizam Omar dan Setiausaha GB4B Malaysia, Roslan Rahim.

Mohd Ali berkata pemimpin-pemimpin GB4B perlu meneruskan usaha untuk menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai GB4B agar tidak mudah kehilangan panduan dan akhirnya tidak berminat menyertai GB4B dan UMNO.

"Ahli-ahli GB4B juga perlu menyertai pertubuhan NGO lain khususnya badan-badan beruniform seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), St John Ambulans, Pengakap dan sebagainya untuk meluaskan jaringan kepada golongan muda lain.

"Langkah ini bagi memastikan GB4B bersama NGO-NGO lain dapat dibawa ke arus perdana. Misalnya apabila timbul isu-isu semasa, perjuangan NGO akan lebih bernilai dan dilihat dari aspek positif berbanding parti politik seperti di negara-negara Eropah dimana suara NGO lebih kuat dan berpengaruh,"katanya.

Mohd Ali berkata, kesungguhan NGO-NGO di negara-negara barat memperjuangkan sesuatu isu wajar dicontohi kerana rata-rata ahli NGO tersebut terdiri daripada golongan belia, pelajar dan mereka yang tidak terikat dengan kerajaan tetapi menyokong dasar kerajaan.

Penglibatan ahli-ahli GB4B dalam NGO lain dapat membantu GB4B ketika berhadapan dengan cabaran-cabaran isu semasa khususnya yang melibatkan perpaduan kaum.

Mohd Ali turut menasihati pemimpin-pemimpin GB4B agar terus memberi perhatian kepada cawangan-cawangan dan mereka yang tidak memperoleh sebarang jawatan dinasihatkan agar meneruskan usaha membantu golongan belia dan pemimpin belia dalam mencapai aspirasi 1Belia 1Malaysia.

"Pastikan mesyuarat agung GB4B berjalan lancar bagi mengukur prestasi GB4B khususnya diperingkat akar umbi kerana tidak bermakna sesuatu kegiatan dijalankan sekiranya hilang sentuhan diperingkat akar umbi,"katanya.

Pemimpin-pemimpin GB4B juga dinasihatkan agar menjalin kerjasama baik dengan pemimpin-pemimpin parti politik khususnya dalam menganjurkan program.

"Cara mempopularkan GB4B tidak sukar, jika kita hargai orang, orang pun akan hargai kita. Justeru ahli-ahli GB4B juga tidak sepatutnya mengharapkan imbuhan jika menyertai persatuan, sikap ini perlu dikikis," katanya. Melaka Hari Ini Online

Friday, January 22, 2010

NAJIB PUJI MELAKA. MoU Dengan Syarikat Bioteknologi India


NEW DELHI, 22 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan langkah kerajaan Negeri Melaka mengadakan usahasama dengan syarikat India dalam bidang bioteknologi melibatkan pelaburan kira-kira RM500 juta.

``Ini merupakan satu langkah yang baik dalam konteks hubungan Malaysia-India kerana India mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi,'' katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenainya di sini, Perdana Menteri berharap kerjasama itu akan menghasilkan pendapatan bukan sahaja di peringkat penyelidikan tetapi juga menjadi produk komersial yang menguntungkan.

Majlis menandatangani MoU itu dilakukan bersama oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mewakili Melaka Biotech Holdings manakala Vanguard Creative diwakili Pengerusinya, Vishwanath Komplella dan Pengarah Vivo Biotech, Datuk A Chandrakant.

Sementara itu Ketua Menteri tiba di Chennai petang semalam dari New Delhi dalam rangka lawatan kerja bersama Perdana Menteri.

Pagi tadi, Perdana Menteri dan rombongan telah menghadiri majlis perjanjian persefaham (MoU) membabitkan 13 syarikat Malaysia dengan syarikat yang berpengkalan di sini.

Selepas majlis, Perdana Menteri dan diiringi Ketua-Ketua Menteri dan Menteri Besar termasuk Mohd Ali menunaikan solat Jumaat di Anjuman kira-kira tiga kilometer dari hotel penginapan rombongan Malaysia.

Selepas solat, Perdana Menteri dan Mohd Ali turut meluangkan masa melawat Al-Haj T A Abdul Wahid Sahib, rumah perlindungan kanak-kanak yang terbesar di sini.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri dan Menteri Besar, Ketua Menteri dan para pegawai kanan menghadiri persidangan meja bulat 'Business Opportunities In Malaysia' di hotel penginapan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut meluangkan masa mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli perniagaan yang berminat untuk melabur di Melaka.

Antara pelabur terbabit ialah dalam bidang tele medicine, pendidikan dan bioteknologi. Pada malam ini rombongan akan diraikan dalam majlis makan malam anjuran Kerajaan Chennai. Rombongan dijangka berlepas pulang jam 1 pagi waktu tempatan dan dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA jam 7 pagi esok.

"Sentuhan" Perdana Menteri Lonjak Bioteknologi Negara BERSEJARAH


NEW DELHI, INDIA, 21 Jan - Melaka mencatat sejarahnya tersendiri hari ini apabila mendapat 'sentuhan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke arah melonjakkan bioteknologi negara ke peringkat global.

Detik bersejarah itu berlaku apabila Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan kerja ke India hadir menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Melaka Biotech Holdings Sdn Bhd dengan Vivo Biotech Ltd dan Vanguard Creative Technologies Sdn Bhd.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mewakili Melaka Biotech Holdings manakala Vanguard Creative diwakili Pengerusinya, Vishwanath Komplella dan Pengarah Vivo Biotech, Datuk A Chandrakant.

Majlis berkenaan telah berlangsung di hotel penginapan Perdana Menteri di Taj Palace Hotel, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi waktu tempatan.

Melalui MoU tersebut, Vivo Biotech akan melabur kira-kira RM500 juta di kawasan Melaka World Solar Valley untuk pengeluaran produk farmasutikal termasuk ubat anti kanser dan diabetis. Mengulas mengenai MoU itu, Ketua Menteri berkata, projek membabitkan pelabur dari India itu sudah pasti akan melakar sejarah Melaka dalam peta dunia di dalam bidang bioteknologi.

Projek yang melibtkan kawasan seluas enam ekar itu akan melibatkan pembinaan makmal dan kilang pengeluaran ubatan yang berkaitan. Ini adalah pelaburan terbesar syarikat dari India dalam bidang biokteknologi.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana kesudian beliau hadir menyaksikan MoU ini. Ia mencerminkan kesungguhan dan komitmen beliau ke arah mempercepatkan perkembangan bidang biokteknologi di Melaka dan Malaysia keseluruhannya," kata Ketua Menteri.

Ketua Menteri berkata, dalam tempoh enam bulan projek ini akan bermula dan ia dijangka memberi pulangan berbilion ringgit kepada negara apabila produknya memasuki pasaran global.

Mengenai lawatannya bersama Perdana Menteri ke Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu termasuk Abu Dhabi, Ketua Menteri berkata, ia amat berjaya kerana banyak pengalaman baru yang dipelajari termasuk teknologi hijau..