![](http://thestar.com.my/archives/2009/3/17/nation/n_pg01rustam.jpg)
AYER KEROH, 17 Mei - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mahu setiap ahli Jaksa Pendamai (JP) memainkan peranan lebih positif dan berkesan bagi mencapai objektif-objektif yang terkandung dalam Rukun Negara.
Katanya, Ahli-ahli Jaksa Pendamai (Justice Of Peace) dipilih daripada pelbagai kaum yang mengamalkan agama serta budaya yang berbeza dan mereka sewajarnya boleh memainkan peranan yang lebih demokratik menurut lunas undang-undang.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Jaksa Pendamai negeri Melaka, di Seri Bendahara, di sini, hari ini.
Mohd Ali menjelaskan, mereka mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat dan mempunyai bidang kuasa yang boleh dilaksanakan untuk faedah ahli-ahli masyarakat di negeri ini.
"Mereka boleh memainkan peranan utama dalam usaha membentuk perpaduan kebangsaan di kalangan masyarakat Malaysia," katanya.
Katanya, pada hari ini terdapat beberapa elemen perpecahan berlaku dalam masyarakat kita.
Beliau yakin dengan kedudukan para JP yang diterima oleh masyarakat serta dihormati dapat memainkan peranan untuk menjernihkan kekeruhan yang berlaku dalam masyarakat hari ini.
Beliau seterusnya meminta seluruh ahli JP membantu merealisasikan visi Melaka Maju 2010 di samping menyokong konsep '1Malaysia' yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Terdahulu Presiden Majlis JP, Datuk Md Sirat Abu mahu ahli-ahli JP negeri ini memberi kerjasama dan sokongan kepada Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Katanya, kerjasama ini amat diperlukan demi membangunkan sebuah masyarakat yang harmoni dan bahagia.
Turut hadir penasihat Majlis JP Tan Sri Dr P.R.Linggam, Datuk Tan Cheng Swee dan Datuk Hamzah Bajuri. MHIonline
Sila kunjungi: www.alirustam.com