Tuesday, June 9, 2009

Kita perlu mempertahankan nilai-nilai sejarah

SINGAPURA, 8 Jun - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) berkata, ikatan sejarah mampu menjadi pemangkin mengeratkan hubungan kemanusiaan sejagat kerana sejarah itu amat bernilai dalam membentuk kekuatan identiti sesebuah tamadun bangsa yang berjaya.

Beliau menjelaskan, DMDI juga kini sedang merintis berbagai program memantapkan hubungan negara-negara anggota menerusi ikatan sejarah bagi menjadikan rumpun Melayu rumpun Islam sejagat lebih mantap serta cemerlang.

"Kita akan terus menyokong sebarang usaha bagi meletakkan warisan dunia sebagai milik sejagat demi memastikan identiti sesebuah bangsa itu berkekalan untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

"Sesebuah bangsa yang sudah hilang nilai-nilai sejarah bererti identiti bangsa berkenaan juga turut luput ditelan arus kemodenan. Sebab itulah kita perlu mempertahankan nilai-nilai sejarah yang dijadikan antara elemen penting membentuk nilai kemanusiaan sejagat," kata Mohd Ali.

Ketua Menteri berkata demikian di Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Masjid Omar Kampung Melaka dan Masjid Hang Jebat pada majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Omar, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Mohd Ali telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Kerajaan Negeri kepada Pengerusi Lembaga Masjid Omar Kampung Melaka, Abu Bakar Abdul Rahman untuk tujuan menaiktaraf masjid berkenaan dan RM10,000 lagi kepada Setiausaha Lembaga Pentadbir Masjid Hang Jebat, Mohd Fauzi Mohd Ali bagi kerja-kerja pemuliharaan masjid tersebut.

Turut hadir, Menteri Negara Kanan, Ehwal Luar, Zainul Abidin Rasheed; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Asmah Abd Rahman; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Dato' Mohd Hussin Nayan; Mufti Kerajaaan Melaka, Datuk Wira Rashid Redza Mohd Salleh dan Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Datuk Wira Hamdin Abdollah.

Beliau menjelaskan, sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Melaka tentunya akan memberi kesan yang amat besar di dalam sejarah perhubungan Kerajaan Melaka dan Kerajaan Singapura, khasnya masyarakat Melayu Islam Singapura.

"Sememangnya kita akui bahawa perhubungan antara dua Kerajaan ini telah bermula sejak dulu lagi. Kalau kita meneliti sejarah Melayu, hubungan ini terjalin semenjak bermulanya Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka lagi, ketika itu Singapura dikenali dengan nama Temasik lagi kira-kira 600 tahun dahulu. Sewajarnya kita sebagai generasi masakini meneruskan serta mengeratkan lagi hubungan ini," ujar Mohd Ali.

Katanya, untaian sejarah silam yang menghubungkan Melaka, Singapura dan Sumatera jelas membuktikan bahawa kita semua memang bersaudara dan berkongsi sejarah.

"Menerusi ikatan sejarah yang sudah terpahat sejak dahulu lagi ini jugalah kita wajar menjalinkan hubungan lebih akrab bagi memantapkan hubungan sejagat menerusi sejarah serta warisannya," ujar Ketua Menteri. MHIonline

Untuk informasi & aduan online sila ke: www.alirustam.com

No comments: