Friday, June 5, 2009
TUGAS BINA NEGARA BANGSA KIAN MENCABAR
Tugas membina negara bangsa melalui pendidikan tidak akan selesai, sebaliknya ianya menjadi semakin mencabar seiring dengan kemajuan yang tidak terbatas pada masa kini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, keupayaan membina negara bangsa amat bergantung kepada keutuhan perkongsian nilai serta semangat patriotisme yang dapat dipupuk serta disuburkan dalam kalangan semua lapisan masyarakat, terutama generasi muda.
"Matlamat Kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa adalah menepati Gagasan 1Malaysia. Justeru tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing," kata Datuk Seri Mohd Ali.
Ketua Menteri optimis perpaduan rakyat dapat diperkukuhkan sekiranya nilai-nilai tersebut dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, terutama pendidikan keagamaan.
Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian khusus dalam memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara menghadapi cabaran globalisasi.
"Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini.
Dengan tanggungjawab mengajar dan mendidik, guru sebenarnya turut berada di saf hadapan untuk menyemai serta memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jatidiri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang melalui kaedah-kaedah yang menarik dalam pengajaran Islam," ujarnya.
Beliau seterusnya menyeru semua guru supaya mempertingkatkan diri dengan ilmu serta kemahiran supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
"Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti agar terus dihormati serta menjadi role model kepada anak didik dan juga masyarakat," tambah Ketua Menteri. MHIonline
Untuk informasi & aduan online sila kunjungi: www.alirustam.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment