AYER KEROH, 24 Jan - Gerakan Belia 4B (GB4B) Malaysia perlu mendapat sokongan massa (ramai) menerusi setiap kegiatan yang dianjurkan bagi memperkukuhkan kedudukan GB4B sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terbesar dinegera ini.
Presiden Alumni GB4B Malaysia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata perkara itu penting kerana GB4B diperkenalkan untuk memperkukuhkan kedudukan orang muda diperingkat akar umbi dengan bekerja secara sukarela.
"Jika UMNO pada dasarnya ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, agama Islam dan tanah air, GB4B pula bukanlah pertubuhan politik tetapi ditubuhkan untuk mengukuhkan politik orang Melayu dan politik Malaysia.
"Justeru, ahli-ahli GB4B merupakan pelapis kepada UMNO, dan jika UMNO kekurangan pemimpin, maka kita akan ambil pemimpin GB4B untuk menggantikan pemimpin yang kurang didalam parti," katanya.
Mohd Ali berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Alumni GB4B Malaysia Bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) GB4B Malaysia di Seri Bendahara, disini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan, Hasan Abdul Rahman, Naib Presiden Alumni GB4B Malaysia, Datuk Ahmad Bahari Abd Rahman dan Datuk Ayub Yahya, dan Setiausaha Agung Alumni GB4B Malaysia, Datuk Wira Jamaluddin Abd Rahim.
Hadir sama, Presiden GB4B Malaysia, Muamaar Ghadafi Jamal Jamaluddin, Naib Presiden GB4B Malaysia, Mohd Nizam Omar dan Setiausaha GB4B Malaysia, Roslan Rahim.
Mohd Ali berkata pemimpin-pemimpin GB4B perlu meneruskan usaha untuk menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai GB4B agar tidak mudah kehilangan panduan dan akhirnya tidak berminat menyertai GB4B dan UMNO.
"Ahli-ahli GB4B juga perlu menyertai pertubuhan NGO lain khususnya badan-badan beruniform seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), St John Ambulans, Pengakap dan sebagainya untuk meluaskan jaringan kepada golongan muda lain.
"Langkah ini bagi memastikan GB4B bersama NGO-NGO lain dapat dibawa ke arus perdana. Misalnya apabila timbul isu-isu semasa, perjuangan NGO akan lebih bernilai dan dilihat dari aspek positif berbanding parti politik seperti di negara-negara Eropah dimana suara NGO lebih kuat dan berpengaruh,"katanya.
Mohd Ali berkata, kesungguhan NGO-NGO di negara-negara barat memperjuangkan sesuatu isu wajar dicontohi kerana rata-rata ahli NGO tersebut terdiri daripada golongan belia, pelajar dan mereka yang tidak terikat dengan kerajaan tetapi menyokong dasar kerajaan.
Penglibatan ahli-ahli GB4B dalam NGO lain dapat membantu GB4B ketika berhadapan dengan cabaran-cabaran isu semasa khususnya yang melibatkan perpaduan kaum.
Mohd Ali turut menasihati pemimpin-pemimpin GB4B agar terus memberi perhatian kepada cawangan-cawangan dan mereka yang tidak memperoleh sebarang jawatan dinasihatkan agar meneruskan usaha membantu golongan belia dan pemimpin belia dalam mencapai aspirasi 1Belia 1Malaysia.
"Pastikan mesyuarat agung GB4B berjalan lancar bagi mengukur prestasi GB4B khususnya diperingkat akar umbi kerana tidak bermakna sesuatu kegiatan dijalankan sekiranya hilang sentuhan diperingkat akar umbi,"katanya.
Pemimpin-pemimpin GB4B juga dinasihatkan agar menjalin kerjasama baik dengan pemimpin-pemimpin parti politik khususnya dalam menganjurkan program.
"Cara mempopularkan GB4B tidak sukar, jika kita hargai orang, orang pun akan hargai kita. Justeru ahli-ahli GB4B juga tidak sepatutnya mengharapkan imbuhan jika menyertai persatuan, sikap ini perlu dikikis," katanya. Melaka Hari Ini Online
Sunday, January 24, 2010
Jadikan NGO Terbesar Negara KUKUHKAN KEDUDUKAN GB4B - MOHD ALI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment