Saturday, February 7, 2009

Peringatan Sultan Perak Wajar Diberi Perhatian Serius, Kata Datuk Seri Ali Rustam

Peringatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah agar sesuatu isu terutama membabitkan kepentingan dan keistimewaan orang Melayu tidak dipolitikkan semata-mata untuk mencari populariti murahan, wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kepentingan sah kaum lain di negara ini," katanya.

Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu. Mohd Ali berkata beliau bimbang jika isu ketuanan Melayu, hak orang Melayu dan kontrak sosial terus dipersoalkan dan dipertikaikan oleh mana-mana pihak, ia boleh mencetuskan suasana tidak sihat di negara ini.

"Sebagai orang Melayu kita perlu berani dan tegas mempertahankan hak kita dan bukan bersifat talam dua muka memburuk-burukkan kaumnya sendiri dengan memberi pelbagai tafsiran peribadi mengenai ketuanan Melayu," katanya. (Petikan Bernama)

No comments: