Wawasan Datuk Seri untuk Umno khususnya orang Melayu jika terpilih?Petikan dari Berita Minggu 14/12/08
"Tugas Timbalan Presiden besar dan berat. Ia perlu membantu Presiden bagi mengembalikan semula keyakinan ahli dan rakyat kepada Umno, BN dan kerajaan. Ini akan menjadi fokus utama kita sehingga Pilihan Raya Umum ke-13. Saya yakin, ia boleh dilakukan dengan pelbagai strategi. Antaranya, kita mesti kembali bersatu padu. Kedua, tunaikan janji dalam pilihan raya dan dalam parti kita. Keputusan parti dan manifesto pilihan raya mesti dilaksanakan.Sekarang ini, saya lihat masalah kita, banyak keputusan parti tak dilaksanakan.
Sebab itu ahli marah, mereka marah pada Umno, marah pada BN dan akhirnya jika tidak dibendung boleh menjejaskan peluang dalam pilihan raya. Sampai sekarang ini, orang Melayu, ahli Umno, pemimpin parti masih komplen mengenai kedudukan ekonomi Melayu. DEB (Dasar Ekonomi Baru) sudah 38 tahun diperkenalkan tapi ekuiti Melayu masih 19 peratus. Begitu juga dalam pendidikan dan pelbagai bidang yang masih belum tercapai, sedangkan kita sudah berjanji dulu.
Hingga hari ini, kita masih bercakap perkara sama. Ahli Umno kata, kenapa tak boleh, kita ada kuasa. Saya lihat, kita kena penuhi kehendak parti yang dirumuskan dalam perhimpunan dan janji pilihan raya. Sebab itu, saya berpendapat, parti perlu menguasai kerajaan dalam melaksanakan dasar supaya ia terlaksana. Kita ada dasar yang baik, cuma pelaksanaannya masih lemah dan inilah perlu diperbaiki."