Thursday, March 19, 2009

Mohd. Ali pejuang sebenar parti - Aziz Tapa

JASIN 19 Mac - Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini adalah seorang pejuang sebenar parti kerana sikap terbuka beliau menerima keputusan tersebut.


Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Aziz Tapa berkata, reputasi Naib Presiden UMNO itu yang dikenali sebagai paling kuat bekerja dan sanggup melakukan apa sahaja demi keutuhan parti membuktikan beliau seorang ahli yang begitu setia dan tidak patah semangat.


''Saya cukup mengenali beliau (Mohd. Ali) sejak daripada menjadi pemimpin belia melalui banyak pengalaman dalam politik di peringkat cawangan, bahagian, dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menjadi Ketua Menteri sehingga sekarang.

''Mohd. Ali adalah pejuang politik yang sebenar bermula daripada peringkat akar umbi. Segala pengalaman yang dilalui hingga membawanya menjadi Ketua Menteri sudah cukup membayangkan beliau seorang yang kuat kerja dan melakukan apa sahaja untuk parti,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Lembaga Disiplin parti melarang Mohd. Ali daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti minggu depan.
Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen mendapati Mohd. Ali bersalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO apabila tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Aziz seterusnya yakin Ketua Menteri Melaka itu tidak akan patah semangat untuk meneruskan perjuangan politik yang diceburi sejak 40 tahun lalu.
''Saya kagum dengan Mohd. Ali yang menerima hukuman itu dengan hati terbuka. Inilah semangat perjuangan parti yang sebenarnya. Beliau menghadapinya dengan tenang dan tidak melatah.

''Beliau masih muda dan pada usia 60 tahun karier politiknya masih belum berakhir dan apa yang berlaku akan menjadi pembakar semangatnya untuk bangkit semula," katanya.
Utusan Online

No comments: