Thursday, March 19, 2009

'Tidak ada konspirasi untuk jatuhkan saya', Datuk Ali

KUALA LUMPUR 19 Mac - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tidak ada konspirasi dalam UMNO untuk menjatuhkan beliau. "UMNO adalah parti yang bersih dan baik," katanya kepada pemberita. Mohd. Ali berkata, bahawa beliau telah membuat rayuan berhubung keputusan Lembaga Disiplin itu.

Mengenai satu cadangan bahawa beliau boleh meminta Pendaftar Pertubuhan menghalang pemilihan UMNO dijalankan jika tindakan terhadapnya itu tidak sah, Mohd. Ali berkata, beliau hanya ingin bertindak melalui saluran parti.

Mengenai cadangan sesetengah pihak yang mahu membawa usul supaya Lembaga Disiplin UMNO dimansuhkan kerana ada badan lain yang boleh melakukan fungsi yang sama, Mohd. Ali berkata: "Kita telah tubuhkan dan kita menghormati lembaga yang kita telah tubuhkan."
Beliau meminta supaya semua penyokongnya bertenang dan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini seperti biasa.

Kepada soalan mengenai siapa yang akan disokongnya untuk jawatan Timbalan Presiden, Mohd. Ali berkata, itu terpulang kepada perwakilan. "Penyokong saya pun bebas memilih siapa yang mereka fikir paling layak," katanya.

Mohd. Ali berkata, beliau telah berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini. - Bernama

No comments: