Thursday, March 19, 2009

'Saya tidak mahu perpecahan'

SEREMBAN 19 Mac - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang dilarang daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan minggu depan, turut menghadiri program terakhir pengenalan calon-calon Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang diadakan di sini malam ini.

Beliau yang datang ke program tersebut dengan berbaju Melayu putih menjadi perhatian pada majlis tersebut malahan turut mendapat pujian daripada pelbagai peringkat kepimpinan UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan pengenalan itu turut menarik perhatian perwakilan dan pemerhati apabila memuji sikap Mohd. Ali yang datang pada program tersebut dengan semangat cintakan parti. ''Saya terharu apabila membaca kenyataan Mohd. Ali yang menyebut, beliau akan berkorban apa sahaja, jiwa mahupun raga demi memastikan parti ini terus kuat.

''Semangat yang ditunjukkan oleh Mohd. Ali wajar dicontohi semua ahli parti kerana tiada guna bersikap putus asa kerana ahli dan orang Melayu sudah tidak sanggup lagi melihat perpecahan demi perpecahan.

''Kehadiran Mohd. Ali pada malam ini menunjukkan rasa taat setia kepada UMNO dan bersama-sama meneruskan perjuangan walaupun telah dilarang bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang," kata beliau pada majlis pengenalan calon MT di Hotel Royale Bintang di sini malam ini.

Sebaik Mohamad selesai memuji kehadiran Mohd. Ali, sebahagian besar perwakilan yang jumlahnya melebihi 1,000 orang itu memberi tepukan gemuruh kepada Naib Presiden UMNO itu sambil dituruti calon-calon MT yang berada di atas pentas.

Mohd. Ali yang ditemui pemberita selepas itu memberitahu, beliau hadir atas rasa keinsafan dan tidak mahu melihat ada perpecahan dalam parti UMNO. ''Saya datang dengan semangat dan kekuatan UMNO yang ada dalam diri saya. Saya datang untuk memberikan sokongan kepada calon-calon yang bertanding termasuk calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib serta yang lain-lain," ujar beliau.

Ditanya rayuan yang dibuatnya, Mohd. Ali berkata, beliau masih menaruh harapan untuk bertanding dalam jawatan Timbalan Presiden dan menyerahkan apa juga keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan.

Sebelum itu, Mohd. Ali tiba di pekarangan lobi hotel berkenaan pada pukul 9.05 malam dan disambut dengan sorakan serta tepukan daripada penyokong, perwakilan dan pemerhati calon-calon pada majlis tersebut.
Utusan online

No comments: