Friday, March 20, 2009

MT tidak upaya jadi 'mahkamah rayuan'

KUALA LUMPUR 19 Mac - Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak mempunyai keupayaan untuk memutuskan kes rayuan ahlinya yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin parti kerana terlibat politik wang baru-baru ini.


Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan Lembaga Disiplin UMNO perlu dihormati demi masa depan parti itu terutama ketika UMNO juga berhadapan dengan soal keadilan sosial serta politik semasa.


Katanya, walaupun rayuan boleh dibuat kepada MT, fakta-fakta berhubung kes politik wang yang dihadapi pihak terbabit dimiliki oleh Lembaga Disiplin UMNO. "Kita tidak mahu UMNO dilihat oleh pelbagai pihak sebagai satu badan yang enggan akur pada keputusannya sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau yang juga Menteri Luar mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa MT tidak lagi mempunyai kuasa ke atas ahli-ahlinya sejak kebelakangan ini sebaliknya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin.


Menurutnya, jika MT dianggap sebagai 'Mahkamah Rayuan' walaupun ia tidak boleh dianggap begitu, kerana fungsi keseluruhannya telah diberi kepada Lembaga Disiplin.
Lembaga Disiplin katanya, telah diberi kuasa untuk memutuskan prinsip-prinsip siasatan, fakta dan peruntukan termasuk di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO.


Dalam pada itu Rais berkata, MT bukan tiada kuasa tetapi kewajaran sistem yang wujud ialah laporan diserahkan kepada MT dan terpulang pada pendirian dan penelitiannya untuk membuat keputusan.


Menurutnya, dalam apa pun, MT tidak boleh menidakkan proses keadilan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin demi menyelamatkan masa depan UMNO.
Kelmarin Lembaga Disiplin UMNO memutuskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bersalah kerana melanggar Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO dan dilarang daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan minggu depan.


Bagaimanapun Mohd. Ali semalam memberitahu, beliau akan membuat rayuan kepada MT atas hukuman yang dikenakan terhadapnya.

utusanonline

1 comment:

Alirustam.com said...

DSAR mungkin hari ini 'down & out' tapi politician yang kuat dan gentleman akan terus bertahan.

Dengan rating yang lebih tinggi daripada 2 calon yang lain terbukti DSAR amat dihargai, disayangi dan disokong untuk menjadi Timbalan Presiden Umno.

Namun tragedi ini menimpa DSAR. Harap semua penyokong bersabar dan mendoakan kesejahteraan DSAR!