Saturday, March 21, 2009

"Detik mencabar dalam hidup", Ali Rustam

MELAKA 21 Mac – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyifatkan keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarang beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden parti sebagai detik paling mencabar dalam tempoh 41 tahun beliau berkecimpung dalam parti.

Namun begitu, beliau yang menyertai parti sejak berusia 18 tahun boleh menghadapi serta menerima keputusan itu dengan tenang dan hati terbuka kerana niatnya ikhlas untuk berkhidmat kepada parti, rakyat dan negara.

“Saya fikir ini adalah detik yang mencabar. Saya telah melalui proses ini begitu lama daripada peringkat cawangan hingga ke Naib Presiden UMNO, jadi dah tengok banyak insiden dalam UMNO dan saya fikir adalah amat penting kita ikut niat kita.

“Saya fikir adalah amat penting kita ikut niat kita. Niat saya untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada parti, bangsa dan negara. Inilah pegangan saya, sebab itu kalau ada apa-apa berlaku saya sudah bersedia menghadapinya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan Alias Mihad, 23, dengan pasangannya Nurfadila Noorle, 21, di Taman Saujana Indah, Bukit Katil di sini hari ini.

Mohd. Ali mengulas keputusan Panel Rayuan UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Zuki Kamaluddin semalam, menolak rayuannya untuk mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin yang melarang beliau bertanding pada pemilihan parti minggu depan.

Zuki berkata, keputusan Lembaga Disiplin dikekalkan dan ia berkuat kuasa serta-merta seperti yang tertakluk di bawah Fasal 29C Perlembagaan UMNO.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen membuat keputusan melarang Mohd. Ali bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti minggu depan. Beliau didapati bersalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO apabila tiga ejennya mengamalkan politik wang.

Mohd. Ali menjelaskan, beliau menerima keputusan Panel Rayuan menolak permohonannya untuk mengetepikan larangan Lembaga Disiplin daripada bertanding pada pemilihan parti minggu depan.

Menurutnya, beliau hanya mampu berdoa supaya rayuan itu diterima ketika menghantar surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, Lembaga Disiplin dan Panel Rayuan pada 18 Mac lalu.

Sehubungan itu beliau akan tetap menghadiri Perhimpunan Agung UMNO bermula Selasa ini selain menjalankan tugas-tugas parti dan kerajaan seperti biasa. “Saya menerima keputusan Panel Rayuan untuk meneruskan apa yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin sebelum ini dengan hati terbuka. Bagi saya tidak wujud rasa kecewa dengan keputusan ini. Saya sentiasa berpendapat kita perlu menghadapi sebarang keadaan,’’ katanya.

Beliau turut meminta penyokong agar bersikap tenang dan bersabar menerima keputusan yang dibuat oleh Panel Rayuan parti. “Saya minta mereka semua menghadiri Perhimpunan Agung UMNO seperti biasa kerana saya juga akan hadir,” katanya.

Ditanya adakah karier politiknya sudah berakhir selepas gagal dalam rayuannya untuk bertanding, Mohd. Ali berkata: “Ini saya serahkan kepada keadaan. Yang penting, saya nak berkhidmat kepada parti, negara dan rakyat sebaik mungkin untuk membela rakyat jelata.
“Inilah juga asas perjuangan UMNO untuk membela bangsa, agama dan tanah air. Yang lain-lain adalah perkara kedua.” Utusanonline

3 comments:

Alirustam.com said...

DSAR dengan rendah diri berkata,beliau hanya mampu berdoa supaya rayuan itu diterima ketika menghantar surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, Lembaga Disiplin dan Panel Rayuan pada 18 Mac lalu.

Marilah kita penyokong DSAR bersama-sama angkat tangan dan berdoa agar DSAR dibenarkan untuk bertanding semula. Amin

Anonymous said...

hidup politik wang!!!!!yeeehaaaa

Alirustam.com said...

Pengalaman telah mengajar kita semua. Biar pahit tetap ditelan.

DSAR akan tetap meneruskan perjuangan dalam UMNO. Hidup UMNO untuk Malaysia.